Satu pertiga daripada rakyat Singapura telah mengalami keinginan untuk membunuh diri

Satu pertiga daripada rakyat Singapura telah mengalami keinginan untuk membunuh diri
by

Satu daripada sepuluh orang dewasa muda sering terlibat dalam mencederakan diri sendiri

 

Penyelidikan YouGov terkini mendapati bahawa satu pertiga (34%) daripada rakyat Singapura telah mengalami keinginan untuk membunuh diri.

Sementara lebih daripada satu perempat (27%) ‘jarang’ mempunyai keinginan untuk membunuh diri, 7% daripada rakyat Singapura sering mengalaminya. Wanita cenderung untuk mengalami ini lebih daripada lelaki (36% vs. 31%) dan golongan berpendapatan lebih rendah (pendapatan kurang daripada SGD 4,000 sebulan) mempunyai kejadian keinginan membunuh diri yang lebih tinggi berbanding golongan berpendapatan tinggi (pendapatan melebihi SGD 8,000 sebulan) (37% vs. 31%).

Hampir satu perempat (23%) rakyat Singapura telah terlibat dalam mencederakan diri sendiri. Ini terutamanya lazim bagi rakyat Singapura yang lebih muda (berusia 18 hingga 24 tahun), dengan lebih daripada satu pertiga (36%) mencederakan diri sendiri. Di kalangan warga Singapura yang lebih muda, data menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh (10%) sering mencederakan diri sendiri.

Satu daripada sepuluh (11%) telah mengalami beberapa bentuk masalah kesihatan mental dalam hidup mereka. Rakyat Singapura lebih muda (berumur 18 hingga 24 tahun) adalah tiga kali lebih cenderung untuk menyatakan bahawa mereka mempunyai masalah kesihatan mental berbanding rakyat Singapura lebih berusia (mereka yang berumur 55 tahun dan ke atas) (20% vs. 7%).

Masalah kesihatan mental yang paling biasa dialami adalah kemurungan (72%) dan keresahan/kerisauan (52%). Walau bagaimanapun, hanya tiga daripada lima (58%) daripada mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental pergi mendapatkan bantuan profesional. Wanita lebih cenderung mendapatkan bantuan berbanding lelaki (62% vs. 52%) dan mereka yang tiada ijazah universiti adalah lebih cenderung untuk mendapatkan bantuan berbanding mereka yang mempunyai ijazah universiti atau lebih tinggi (61% vs. 55%).

Halangan utama untuk mendapatkan bantuan profesional adalah bimbang tentang kos (47%). Alasan lain termasuk bimbang tentang komitmen masa (35%), tidak pasti di mana ingin mendapatkan bantuan (32%) dan rasa malu atau stigma sosial (25%).

Hampir dua pertiga (64%) rakyat Singapura akan berasa malu untuk mengakui jika mereka mempunyai masalah kesihatan mental. Lebih daripada satu pertiga (36%) akan bersikap terbuka untuk mengakui masalah kesihatan mental mereka, dengan lelaki lebih bersedia untuk bercakap tentangnya berbanding wanita (38% vs. 33%).

Secara keseluruhan, rakyat Singapura cenderung untuk merawat kesihatan mental secara serius Majoriti besar (94%) berpendapat bahawa kesihatan mental perlu diambil serius sama seperti kesihatan fizikal. Sembilan daripada sepuluh (90%) bersetuju bahawa kesihatan mental harus dilindungi oleh insurans, dan jumlah yang hampir sama (92%) berpendapat bahawa pekerja berhak mendapat cuti sakit untuk masalah kesihatan mental.

Jake Gammon, Ketua Omnibus APAC di YouGov Omnibus berkata: “Ramai orang yang mempunyai masalah kesihatan mental menderita dalam diam, seperti yang dapat dilihat daripada jumlah ketara mereka yang memilih untuk tidak meminta bantuan. Bilangan rakyat Singapura yang mengalami tingkah laku merosakkan seperti keinginan membunuh diri dan mencederakan diri sendiri adalah pada tahap membimbangkan, khususnya lazim di kalangan orang dewasa muda. Kami berharap tinjauan ini memberi penerangan tentang topik kesihatan mental, dan bagaimana ia menjejaskan individu secara berbeza.”

***Keputusan berdasarkan 1,095 rakyat Singapura yang ditemu bual oleh YouGov Omnibus