Kebanyakan rakyat Singapura memiliki kad kredit tetapi hanya sedikit yang berhutang

Kim HoPR Manager
May 29, 2019, 10:11 AM GMT+0

Rakyat Singapura gemar menggunakan kad kredit – dengan hampir tiga perempat membayar dengannya sekurang-kurangnya sekali seminggu

Walaupun sebahagian besar rakyat Singapura mempunyai kad kredit, sangat sedikit daripada mereka yang berhutang, itulah hasil daripada penyelidikan terbaru YouGov Omnibus.

Data YouGov menunjukkan bahawa tiga perempat (73%) daripada rakyat Singapura mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit, manakala separuh lagi (56%) memiliki lebih daripada satu, dan 10% memiliki enam kad atau lebih. Penyelidikan tersebut mendedahkan bahawa semakin tinggi pendapatan seseorang, semakin besar kemungkinan mereka akan memiliki kad kredit. Sementara lebih separuh (55%) daripada mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada SGD 4,000 memiliki kad kredit, jumlah ini meningkat kepada sembilan daripada sepuluh (90%) di kalangan mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah SGD 8,000 atau lebih.

Namun begitu, walaupun pemilikan adalah tinggi, hutang kad kredit amat rendah. Antara warga Singapura yang memiliki satu kad, sebahagian besar (88%) daripada mereka membayar jumlah amaun belum dijelaskan tepat pada waktunya. Hanya satu daripada sebelas (9%) membayar sebahagiannya, manakala baki 3% membayar amaun minimum.

Tiket perjalanan (81%) adalah perkara yang paling biasa untuk individu menggunakan kad kredit mereka, diikuti dengan menempah penginapan (76%). Pembelian popular lain termasuklah membeli makanan dan minuman (75%), pakaian (72%) dan peranti elektronik (71%). Wanita lebih cenderung menggunakan kad mereka untuk barangan penjagaan diri berbanding lelaki (64% vs 43%), manakala lelaki pula lebih cenderung menggunakannya untuk peranti elektronik (76% vs. 65%). Berbanding warga emas Singapura (berusia 55 tahun ke atas), golongan belia Singapura (berumur 25 hingga 34 tahun) adalah lebih cenderung menggunakan kad kredit mereka untuk aplikasi perkongsian kenderaan (65% vs. 35%), manakala warga emas Singapura pula lebih cenderung berbanding rakan senegara mereka yang lebih muda (berusia 18 hingga 24 tahun) untuk menggunakan kad mereka bagi penjagaan kesihatan (58% vs. 26%).

Penyelidikan YouGov mendedahkan kekerapan rakyat Singapura membayar dengan kad kredit. Satu daripada enam (16%) menggunakannya setiap hari, manakala lebih daripada satu pertiga (37%) berbuat demikian beberapa kali seminggu. Satu dari lima (20%) meleret kad mereka setiap minggu, dan kurang daripada satu daripada dua belas (8%) membuat pembelian pada kad mereka setiap dua minggu. Satu daripada sepuluh (10%) menggunakan kad mereka setiap bulan manakala baki 8% pula jarang[1] menggunakan kad mereka.

Data tersebut menunjukkan bahawa tatkala separuh (52%) daripada rakyat Singapura percaya memiliki kad kredit memberikan perasaan kewangan yang baik, peratusan yang sama (57%) pula berpendapat bahawa ia menggalakkan perbelanjaan berlebihan.

Jake Gammon, Ketua YouGov APAC Omnibus berkata: “Walaupun kadar penembusan kad kredit adalah tinggi, tidak ada keraguan bahawa rakyat Singapura adalah kumpulan yang bertanggungjawab dari segi kewangan kerana hampir semua orang membayar keseluruhan bil kad kredit mereka tepat pada waktunya. Rakyat Singapura juga merupakan pengguna kad kredit yang kerap, dengan hampir tiga perempat meleret kad mereka sekurang-kurangnya sekali seminggu.”

***Keputusan berdasarkan 1,006 rakyat Singapura yang ditemu bual oleh YouGov Omnibus

[1] Jarang adalah merujuk kepada mereka yang menggunakan kad mereka beberapa kali setahun atau hampir tidak pernah