Selamat Datang ke Uniqlo

Selamat Datang ke Uniqlo
by

Bagaimana peruncit fesyen mengambil alih dunia pakaian Singapura

Peruncit Jepun, Uniqlo telah menjadi popular dan dikenali ramai. Sejak dilancarkan di Singapura dua puluh tahun yang lalu, francais ini telah berkembang menjadi 27 kedai di seluruh pulau – lebih daripada satu pembukaan kedai baharu setiap tahun. Bahkan, Singapura menjadi tapak Kedai Utama Global pertama bagi jenama ini.

Dari saat YouGov Plan & Track mula memantaunya, terdapat peningkatan yang ketara dalam skor Niat Belian Uniqlo – yang mengukur jenama-jenama yang orang ramai berkemungkinan besar akan membelinya. Pada 1 Jan 2016, ia mempunyai skor sebanyak 23.5, tetapi sejak itu meningkat kepada skor 35.6 pada masa ini, kenaikan +12.1 mata, menunjukkan bahawa lebih ramai warga Singapura memasukkan Uniqlo ke senarai destinasi membeli-belah utama mereka.

Populariti Uniqlo adalah meluas, merentasi semua peringkat umur. Ini dapat dilihat dengan membandingkan pangkalan pelanggannya dengan penduduk negara Singapura. Jenama ini amat popular di kalangan mereka yang berumur antara 25 hingga 34 tahun. Secara demografi, pelanggan Uniqlo lazimnya adalah wanita, berbangsa Cina, bekerja sepenuh masa dan mempunyai pendapatan bulanan isi rumah sebanyak SGD 6,000 hingga 7,999.

Namun begitu, yang membuatkan Uniqlo lebih menonjol daripada jenama fesyen runcit yang lain adalah kualitinya yang dapat dilihat dan dirasai. Jenama ini mempunyai skor Kualiti yang lebih baik (44.3) berbanding pesaing seperti H&M (13.1) dan Cotton On (-0.9).

Tidak diragui bahawa tiga perempat (74%) pelanggan Uniqlo ‘tidak kisah membayar lebih untuk barangan berkualiti’, berbanding dua pertiga (68%) daripada populasi umum. Tambahan lagi, pelanggannya mengambil berat tentang keselesaan, dengan 78% pelanggan lebih memilih keselesaan, bukannya gaya ketika membeli pakaian, berbanding 75% daripada populasi umum.

Ia juga bijak dalam pengiklanannya. Jenama itu melantik superstar tenis, Roger Federer sebagai Duta Jenama Globalnya, menjalankan iklan di mana beliau memperagakan pakaian 'LifeWear' mereka – koleksi yang menekankan kualiti dan keselesaan. Ini kelihatan seperti langkah yang bijak daripada Uniqlo, kerana berbanding dengan populasi umum, pelanggan Uniqlo lebih cenderung dipengaruhi oleh endorsmen selebriti (21% vs 19%).

Cabaran bagi Uniqlo adalah untuk kekal relevan dalam pasaran fesyen runcit yang sangat kompetitif.  Satu perempat (24%) daripada pelanggannya turut berbelanja di H&M dan dua daripada sepuluh (21%) berbelanja di Cotton On. Walau bagaimanapun, data kami juga menunjukkan jenama ini mempunyai pelanggan setia, dengan orang ramai yang membeli Uniqlo lebih cenderung kekal dengan jenama yang mereka suka berbanding populasi umum (72% vs 67%).

Ervin Ha, Ketua Data Produk untuk YouGov APAC mengulas: “Kejayaan Uniqlo di Singapura adalah sesuatu yang para peruncit akan cuba meniru, yang mana ia menjadikan jenama ini sebagai kajian kes yang baik. Walaupun Uniqlo jelas mempunyai pemahaman yang mendalam tentang keutamaan dan tingkah laku pelanggan, keupayaan mereka untuk menarik perhatian semua peringkat umur boleh diringkaskn kepada satu ciri umum - pilihan untuk pakaian yang berkualiti. Kami akan memerhatikan jenama ini untuk melihat bagaimana ia terus mengekalkan sokongan apabila jenama baharu muncul di pasaran, dan citarasa pelanggan sentiasa berubah.”

​​​​​​